Kahwin Perdana: RM100,000 Program Cepat Kahwin
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi membantu belia-beliawanis kurang berkemampuan mendirikan rumahtangga.
”Selain itu kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100,000 lagi untuk majlis kenduri selepas majlis akad nikah diadakan,” katanya pada persidangan media di sini hari ini.
Wan Ubaidah berkata, program itu diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kebaikan dan ganjaran bagi mempercepatkan perkahwinan. Oleh itu beliau berharap program Kahwin Perdana akan menjadi dorongan kepada muda-mudi yang ingin berkahwin tetapi kurang berkemampuan.
Mereka yang berminat boleh hubungi:
Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan
di talian 09 7476568 atau 013-9846913
atau 013 – 6946911.
Tarikh tutup 15 November ini
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Islam adalah agama yang menganjurkan perkahwinan. Malah tiada agama tidak menganjurkan perkahwinan kerana perkahwinan adalah satu-satunya cara untuk membina keluarga dan mengembangbiakkan umat manusia.
Islam
melihat perkahwinan sebagai satu daripada fitrah manusia. Itulah
sebabnya Allah menjadikan manusia ini berpasangan-pasangan (ar-Rum:
21). Melalui perkahwinan juga, Allah mengurniakan manusia dengan
keturunan yang melaluinya umat manusia berkembangbiak (an-Nahl: 72).
Selain ayat-ayat ini, Allah juga berfirman di dalam al-Quran tentang
kehidupan para Rasul yang juga berumahtangga (ar-Ra'd: 38).
Begitu
juga hadis Nabi yang bermaksud, "Perkahwinan adalah salah satu
sunnahku. Barangsiapa tidak menyukai sunnahku, maka sesungguhnya ia
tidak meyukai aku." Juga, "Seseorang yang menikah telah menenangkan
separuh agamanya. Maka hendaklah ia bertakwa kepada Allah dengan
menjaga separuh yang lain." Dalam menganalisa hadis ini, Imam
al-Ghazali berpendapat, "dengan
melangsungkan perkahwinan, seseorang itu akan dapat menjaga dirinya
dari kerosakan agama atau akhlaknya. Dapatlah disimpulkan bahawa yang
paling merosakkan akhlak seseorang itu ialah perut dan kemaluannya.
Oleh sebab itu, dengan berkahwin akan terpeliharalah salah satu
penyebab utama kerosakan agamanya. "
Dalam
konteks ini, tentulah perkahwinan itu perlu disegerakan. Walau
bagaimanapun, ada satu syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu
boleh berkahwin iaitu kemampuan. Ini kerana dalam sepotong hadis
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa memiliki
kemampuan untuk kahwin, hendaklah ia berkahwin. Hal itu lebih membantu
menjaga pandangan serta melindungi kemaluan. Namun, apabila tidak mampu,
hendaklah ia berpuasa. Dengan berpuasa, syahwatnya akan lemah." Hadis
ini menunjukkan bahawa bila ada kemampuan, kahwinlah. Jangan
ditangguhkan lagi. Sebaliknya, bagi yang tidak mampu, ia tidak boleh
berkahwin sebaliknya berpuasalah untuk menjaga nafsunya.
Jadi,
adalah jelas bahawa Islam adalah satu agama yang menganjurkan
perkahwinan dan ia melihat bagi yang mampu, lebih cepat berkahwin adalah
lebih baik. Oleh yang demikian, dalam konteks sekarang, kalau sudah
berkemampuan, kahwinlah dan jangan tangguh-tangguh lagi. Tambah pula
jika penanguhan itu bagi tujuan-tujuan seperti untuk memenuhi kepuasan
hidup bujang atau untuk mengelakkan diri dari dikongkong. Ini tentunya
bertentangan dengan Islam kerana perkara-perkara ini akan mendedahkan
kita kepada perkara-perkara yang tidak baik.
Perkahwinan perlu dipermudah dan diperepatkan. Inisiatif kerajaan Kelantan sekarang menuju ke arah itu. Alhamdulillah.
Satu
daripada kesan atau akibat dari fenomena kahwin lewat ini ialah
masalah ketidaksuburan. Dilaporkan, kira-kira 690, 000 orang iaitu 6.4
peratus daripada wanita negara ini mengalami masalah ketidaksuburan dan
memerlukan rawatan fertiliti (Berita Harian, 27 Julai 2001, ms. 9).
Salah satu faktor yang menyumbang kepada angka ini menurut Ketua
Pengarah LPPKN dalam laporan tersebut ialah penangguhan umur perkahwinan
wanita (hingga 23 tahun) yang menjadi kecenderungan dalam masyarakat
negara ini. Itu, hampir 10 tahun lalu, sekarang kita terima akibatnya,
seperti seks bebas, lari dari rumah, buang bayi dan lain-lain.
Kesimpulan:
Tulisan ini bukan bertujuan untuk menyeru agar semua rakyat Malaysia
berkahwin pada usia muda. Ini kerana terbukti bahawa dalam sesetengah
keadaan, penangguhan perkahwinan tidak dapat dielakkan. Misalnya,
ketika melanjutkan pelajaran atau ketika menanggung keluarga, walaupun
ada banyak cara mengatasinya. Sebaliknya, tulisan ini bertujuan untuk
menyedarkan beberapa pihak tentang beberapa perkara.
Satu: Kepada
individu, kalau sudah berkemampuan, kahwinlah. Janganlah tuntutan
agama ini ditangguh-tangguh,konon untuk mendapatkan keseronokan hidup
membujang yang tidak akan ada penghujungnya. Ikhtiarkanlah melalui
saluran-saluran yang baik dan sopan agar jodoh itu dipertemukan.
Dua:
sebagai individu, kita perlu melihat perkahwinan dengan perspektif
yang betul. Perkahwinan sebagai satu tuntutan agama perlu menjadi
idaman kita dan bukan menjadi kebencian kita. Ingat hadis di atas yang
bermaksud, "Barangsiapa tidak menyukai sunnahku, ia tidak termasuk
golonganku. Di antara sunnahku ialah perkahwinan, maka barangsiapa
mencintaiku hendaklah ia mengikuti sunnahku." Jadi, elakkanlah diri dari
membenci perkahwinan.
Walaupun ada
banyak kisah sedih dan menakutkan di sebalik perkahwinan tetapi ia
bukan kerana perkahwinan itu tidak baik, sebaliknya kerana orang-orang
yang berkahwin itu tidak melaksanakan apa yang dituntut dari
perkahwinan. Takkanlah kerana nyamuk kita nhak bakar kelambu, kita rasa
kelambu itu tiada manfaatnya. Nyamuk akan sentiasa ada tetapi jika kita
pastikan bahawa kelambu itu tidak terkoyak dan ia dipasang dengan
baik. Insya'Allah kita akan menfaatkan kelambu sebaik-baiknya.
Tiga:
Bagi wanita yang merasakan mereka boleh hidup sendiri tanpa suami..
ingatlah bahawa perkahwinan dalam Islam mempunyai banyak tujuan, bukan
untuk mendapatkan tempat bergantung semata-mata. Melalui perkahwinan,
bukan sahaja nafkah wanita ditanggung, tetapi keselamatannya juga
terjaga. Melalui perkahwinan juga, wanita mendapat teman hidup yang
melaluinya diperolehi kasih-sayang dan ketenangan.
Melalui
perkahwinan juga, seks 'satu naluri manusia' terpenuhi dengan cara
yang halal dan dari situ zuriat dilahirkan dan keturunan manusia
berkembang biak. Jadi, rasa berdikari yang diperolehi dari gaji itu,
tidak sama dengan ketenteraman hati diperolehi dari perkahwinan seperti
dijanjikan oleh Tuhan.
Empat:
Kepada ibubapa, mainkanlah peranan dalam hal ini, kerana ia juga satu
tanggungjawab ibubapa kepada anak-anaknya. Jadi, bila anak-anak itu
sudah dewasa dan mampu, suruhlah mereka berkahwin. Tanyakanlah pada
mereka apakah mereka mahu kita mencarikan pasangan atau mereka boleh
mencarinya sendiri. Kadangkala anak-anak ini malu untuk bersuara. Jadi,
dengan ibubapa yang memulakannya dahulu, ianya lebih mudah untuk
diteruskam.Lima: Kerajaan sepatutnya memantau masalah ini, sesuai kehendak agama dan kaum masing-masing. Yang patut dibenci dan ditolak ialah kerajaan yang tidak mahu hidup cara agama, menggunakan agama waktu terdesak sahaja.
Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan